IPOH: Perak memperkenalkan enam kluster pelancongan bagi menarik sekurang-kurangnya lima juta pelancong domestik ke negeri itu menjelang hujung tahun ini.

Malah, dengan kluster-kluster itu, Perak mensasarkan pelancong tempatan akan berkunjung ke negeri itu berulang kali.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kluster-kluster itu ialah Ipoh – Greater Ipoh; Kuala Kangsar – Gerik – Pengkalan Hulu; Taiping – Selama – Kerian; Perak Tengah – Manjung – Pangkor; Teluk Intan – Bagan Datoh dan Tapah – Tanjung Malim.

“Jadi bila kita nak menjual atau kita membuat kerjasama daripada segi rangkaian, kita ingin mempromosikan bahawa sanya inilah rangkaian yang boleh kita buat pakej secara bersekali. Jadi kalau kita ada enam kluster, bermaksud kalau orang nak kata dia datang Perak satu tempat memang tak cukup.

“Itu adalah antara strategi yang kita lihat boleh kita guna pakai untuk pelancongan domestik pada waktu dan ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas menutup Program Semarak Pelancongon Perak 2020 di sini, hari ini.

Menurutnya, pada setiap kluster pelancong boleh menghabiskan masa selama tiga hari dua malam dengan mengikuti pelbagai aktiviti di samping menikmati makanan setempat.

Katanya, bagi menjayakan strategi tersebut, kerajaan negeri melalui Tourism Perak bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganjurkan kursus bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, Nolee berkata,
kerajaan negeri mahu pemegang taruh sektor pelancongan terus mengamalkan normal baharu supaya negeri itu kekal berada dalam zon hijau.

Selain menambahkan keyakinan pelancong domestik, ujarnya, langkah itu juga sebagai salah satu persiapan untuk menerima pelancong antarabangsa apabila pintu sempadan negara dibuka kelak.

Menurutnya, mereka harus lebih arif dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diiktiraf pihak berkuasa.

“Kita mahukan ada peningkatan daripada segi perkhidmatan mereka kepada pelancong-pelancong yang datang, bukan sahaja untuk pelancong domestik tetapi bila sempadan buka saya percaya kita masih lagi akan mengamalkan SOP.

“Kita juga mahu kalau boleh mereka orang kata biasakan diri dan pertingkatkan kualiti perkhidmatan, ujarnya.

Beliau memberitahu, setakat ini seramai 147 orang yang terlibat dalam industri pelancongan di Manjung telah diberi latihan di samping 87 orang pemandu pelancong.

Dalam pada itu, menurut Nolee, kerajaan negeri akan melancarkan baucher pelancongan Perak fasa dua pada bulan hadapan yang turut memasukkan dua segmen baharu iaitu ejen pelancongan dan ho-ho bas.

Pada Jun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan baucer pelancongan #TravelPerakLah yang menyediakan 1,500 baucer bernilai RM50 dan RM30 kepada premis penginapan dan produk pelancongan.