IPOH: Prihatin dengan keperluan perumahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan belia, kerajaan negeri Perak memperkenalkan kuota lima peratus untuk setiap golongan tersebut di mana-mana projek perumahan, khususnya rumah kos rendah dan mampu milik.

Sebagai permulaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak akan melaksanakan dasar itu di semua projek perumahan yang dilaksanakannya.

bd6dddce-4309-4e60-9567-3a7928cb4825Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagaimanapun berkata, ia bukanlah satu paksaan kepada pemaju swasta tetapi mereka digalakkan untuk sama-sama melaksanakannya sebagai satu tanggungjawab sosial.

“Dia bukanlah satu dasar yang mengunci, tetapi saya minta kepada kerjasama semua supaya sebagai menunjukkan dasar berkebajikan kita, dasar yang prihatin kepada keperluan rakyat, khususnya bagi golongan OKU, ibu tunggal dan belia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Jualan Perumahan Edisi Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Khamis.

Ekspo lima hari itu yang bermula hari ini, menawarkan lebih 38,000 unit rumah dari pelbagai kategori.

Dr Zambry berkata, di satu-satu tempat umpamanya, mungkin permintaan terhadap rumah terlalu tinggi menyebabkan golongan OKU, ibu tunggal dan belia tidak berpeluang memilikinya.

Bagaimanapun, kata beliau, setelah tawaran kuota itu dibuat tetapi tidak ada pembeli, maka terpulang kepada pemaju untuk menjualnya kepada sesiapa pun.

“Saya juga mengajak semua agensi dan pemaju perumahan supaya dapat kita mempamerkan keprihatinan kita untuk memberikan ruang kepada golongan-golongan ini memiliki rumah mereka,” ujarnya.