IPOH: Perak memperluaskan penggunaan e-Sistem NGO kepada semua Exco dan Menteri Besar bagi menyelaras permohonan kewangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, sistem tersebut yang diperkenalkan tahun lalu, hanya digunakan oleh exco yang menjaga NGO.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, melalui sistem itu, pihaknya dapat memastikan sesebuah NGO tidak membuat permohonan daripada beberapa exco yang berbeza.

“Jika tidak, kita ada 10 exco, seorang MB, jadi dia ada 11 saluran untuk memohon, kadang-kadang ada NGO yang memohon semua 11 saluran.

“Jadi dengan adanya sistem ini kita boleh tahulah yang mana dah dapat dan yang mana belum dapat lagi, mungkin kita boleh pertimbangkan pula supaya dapat semua merasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kursus Asas Tadbir Urus dan e-Sistem NGO di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Menurut Razman, selain mengelakkan permohonan yang bertindih, sistem itu juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

Setakat ini kira-kira 200 permohonan telah diterima melalui sistem itu yang dilancarkan semula selepas sebulan lalu.

Sementara itu, Shahril berkata, e-Sistem NGO adalah satu sistem yang baik dan menyarankan semua persatuan belia untuk menggunakan pakai sistem tersebut dalam membuat permohonan peruntukan.

“Ada sesetengah NGO yang cuba nasib, satu kertas kerja sama dihantar kepada 10 exco, jadi apabila seorang exco luluskan, dengan adanya sistem ini, kita boleh tahu mereka telah dapat dan tidak perlu diluluskan lagi,” katanya.

Menurutnya, sistem ini akhirnya akan dapat menjimatkan di samping mencapai objektif untuk memastikan peruntukan yang terhad dapat digunakan semaksima mungkin.