MEDAN: Perak sedia berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mewujudkan semula penerbangan terus Ipoh-Medan bagi menarik semula pelancong dari wilayah itu berkunjung ke Perak.

Langkah itu mengadakan semula penerbangan terus Ipoh-Medan juga dilihat berupaya untuk memacu pertumbuhan pelancongan negeri terutama selepas pembukaan Movie Animation Park Studios (MAPS) yang dijadualkan bulan hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perancangan untuk mengadakan semula laluan terus Ipoh-Medan itu juga sudah dibincangkan bersama Gabenor Sumatera Utara, Tengku Erry Nuradi.

“Kita akan lakukan perancangan (wujudkan semula laluan) sama ada di peringkat kerajaan Indonesia dan kerajaan negeri di Malaysia atau membabitkan kerjasama syarikat penerbangan kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Malaysia Sempena Perak Travel Mart 2017 yang berlangsung di Grand Aston Hotel City Hall di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Tengku Erry supaya diwujudkan semula laluan penerbangan terus Ipoh-Medan-Ipoh yang dihentikan perkhidmatannya tahun lalu bagi menggalakkan semula sektor pelancongan antara Perak dan Wilayah Sumatera Utara itu.

Tengku Erry ketika berucap pada majlis itu kelmarin berkata, penerbangan terus antara Ipoh-Medan-Ipoh sekurang-kurangnya sekali seminggu perlu dilaksanakan bagi memudahkan, menggalakkan serta merancakkan sektor pelancongan antara kedua-dua lokasi.

Zambry berkata, dengan adanya MAPS yang baharu dan akan dibuka bulan depan ia pasti akan menggalakkan dan merancakkan lagi sektor pelancongan ke negeri Perak.

“Tengku Erry juga sudah menyatakan kesungguhan dalam menangani perkara itu secara bersama,” katanya. Zambry berkata, pihaknya akan terus mengadakan perbincangan mengenai cadangan itu dan sekiranya semua pihak bersetuju, langkah segera akan diambil bagi menanganinya.

Katanya, penerbangan di laluan itu sangat perlu kerana prasarananya sudah sedia ada, penerbangan juga pernah ada dan langkah paling penting adalah bagi memastikan jumlah penumpang di kedua-dua laluan adalah memadai dalam memastikan ia memberikan manfaat termasuk dari segi keuntungan perniagaan kepada pihak yang terbabit.

“Perkara itulah (keuntungan) yang menimbulkan masalah bagi syarikat penerbangan kerana mereka memerlukan jumlah penumpang yang mencukupi dan memadai untuk menjalankan operasi,” katanya.

Penerbangan terus Ipoh-Medan-Ipoh sebelum ini dijalankan dua syarikat iaitu You Wings yang juga anak syarikat Sriwijaya Air dan Malindo Airways, bagaimanapun ia tidak dapat bertahan lama dan terpaksa dihentikan tahun lalu kerana tidak mendapat sambutan menggalakkan.

Selanjutnya di : https://www.bharian.com.my/node/280576