IPOH; Kerajaan negeri Perak menyambut baik Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 dengan peruntukan RM7 bilion pastinya akan memberi nafas lega kepada 10.6 juta penerima dari golongan sasar.

Menurutnya, kerajaan negeri Perak juga amat mengalu-alukan Program Subsidi Upah 2.0 yang akan membantu meringankan beban majikan yang terkesan untuk terus mengekalkan pekerja mereka.

“Pakej KITA PRIHATIN ini sekaligus membuktikan pentadbiran kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar berpegang kepada janji untuk menjadi sebuah kerajaan yang sentiasa terhadap kebajikan rakyat.

“Jelas sekali bantuan ini dirangka setelah mengambil kesukaran yang dilalui oleh rakyat dan masyarakat perniagaan yang masih bergelut untuk terus kekal berdaya saing akibat impak besar pandemik COVID-19 terhadap semua sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, dalam menempuh tempoh yang amat mencabar ini, rakyat memerlukan kepimpinan kerajaan yang peka nasib mereka demi untuk menyara keluarga dan meneruskan kehidupan.

Menurutnya, rakyat sama sekali tidak mahu tumpuan kerajaan teralih kepada permainan dan percaturan politik pihak-pihak tertentu yang hanya merugikan negara dan rakyat.

“Ini adalah masa untuk kerajaan berganding bahu, bersatu iltizam dengan rakyat bagi menyelamatkan ekonomi negara dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela, bukannya menangguk di air yang keruh demi kepentingan peribadi dan kelangsungan politik sempit pihak tertentu.

“Seikat lebih teguh dari sebatang, segemal lebih hasil dari setangkai,” ujarnya.Justeru itu, kata beliau, kerajaan negeri Perak akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan semua bantuan yang diumumkan akan sampai kepada golongan sasar.