Oleh: Aida Aziz

IPOH: Perak menyambut baik misi kemanusiaan terbesar diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digerakkan ke Myanmar untuk membantu etnik Rohingya.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamed berkata, pengumuman misi itu yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan membantu etnik Rohingya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, ia dilihat sebagai satu langkah tepat dan perlu disokong oleh semua rakyat.

“Kerajaan dan rakyat negeri Perat turut terkesan dengan situasi etnik Rohingya, seperti juga yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia dan insan yang mencintai kedamaian.

“Manusia yang ada rasa kasih sayang akan mencintai perdamaian. Kasih sayang ini merentasi sempadan warna kulit, bangsa; ia tidak mengira agama.

“Ia adalah kemanusiaan. Maka kita terpanggil untuk bangkit bersama-sama, kita gembira YAB Perdana Menteri telah mengumumkannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan seminar The Future Training of Workforce for the Industry 4.0 di Auditorium PHCDS, PTTC, Bandar Meru Raya.

Menurut Saarani, misi kemanusiaan itu adalah satu manifestasi seluruh rakyat Malaysia.

“Setelah peristiwa Bosnia Herzegovina, kita ingat sudah habis, rupanya ada lagi yang lebih teruk daripada itu.

“Ini sudah macam penghapusan etnik, itu adalah salah; tidak boleh dilakukan begitu,” ujarnya.

Saarani berkata, beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh kerajaan dan berharap rakyat negeri Perak akan turut memberi bantuan dalam apa jua bentuk yang termampu.

“Siapa mampu bagi wang, bagilah wang; siapa mampu bagi tenaga sebagai doktor, jururawat, pergilah membantu. Inilah masa yang sesuai untuk kita bersama-sama melaksanakan tugas ini,” ujarnya.