SLIM RIVER: Kerajaan negeri Perak menyambut baik program Solidariti Malaysia Quran Hour yang akan berlangsung Ahad ini.

Penjawat awam, swasta dan sekolah diminta meraikan program itu dan turut mengambil bahagian bersama-sama keluarga di tempat masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, disebabkan program itu jatuh pada hari Ahad, warga Perak diminta mengikutinya secara live di beberapa saluran televisyen dan media sosial termasuk Astro Oasis dan Facebook Sinar Harian.

“Walaupun pada hari tersebut cuti, tapi berilah masa hanya satu jam daripada pukul 12 tengahari sehingga pukul 1.

“Menteri Besar sangat menyokong penuh berkaitan dengan program ini, malah, ia dekat dengan hati Tuanku Sultan Perak di mana tahun lalu baginda turut turut serta di dalam program yang dianjurkan di Universiti Islam Antarabangsa,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, di sini, hari ini.

Malaysia Quran Hour yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Ahad memasuki edisi ke enam yang dianjurkan setiap 30 Ogos sejak 2015.

Sebagai tanda Solidariti, umat Islam boleh mengambil gambar sendiri atau keluarga dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memuat naik ke dalam media sosial menggunakan Malaysia #QuranHour.