IPOH: Perak letak sasaran muncul juara Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak edisi ke-55 yang bakal berlangsung di sini pada Sabtu ini.

Pengurus pasukan hoki negeri, Datuk Azhar Ahmad berkata, pihaknya yakin skuadnya mempunyai potensi besar untuk mengulangi kejayaan menjuarai kejohanan tersebut pada tahun 2013 dan 2014 sekaligus mengembalikan maruah Perak sebagai kuasa besar hoki di negara ini.

“Persiapa kali ini cukup luar biasa kerana kita telah memilih barisan pemain termasuk enam pemain kebangsaan yang merupakan anak jati Perak lebih awal berbanding tahun lalu dan memulakan latihan pada 26 Oktober lepas.

“Jika dibandingkan tahun sebelum ini kita hanya mampu membuat persiapan minimum, namun kali ini kita berpeluang melakukan persiapan sedikit lebih awal,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, pemilihan pemain juga telah dibuat dengan teliti tanpa hanya memberi fokus kepada pemain yang bernama semata-mata.

“Semua pemain kita telah periksa terlebih dahulu untuk memastikan mereka ini betul-betul cergas dan boleh bermain.

“Kita tidak mahu seperti sebelum-sebelum, walaupun pemain berkenaan bernama namun tak boleh bermain kerana kecederaan dan sebagainya, kita mahukan semua pemain boleh memberi sumbangan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Hoki Perak dan Timbalan Presiden Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Hoki Malaysia kerana memilih Perak sebagai tuan rumah kali ini.

“Kita amat mengalu-alukan kejohanan berprestij ini kerana kali terakhir Perak menjadi tuan rumah adalah pada tahun 1992,” ujar beliau.

Kejohanan Piala Tun Abdul Razak siri ke-55 itu akan berlangsung di Ipoh bermula 4 sehingga 12 November ini.

Sebanyak 17 pasukan akan menyertai kejuaraan tersebut yang dibahagikan kepada dua divisyen iaitu divisyen 1 dengan lapan pasukan manakala divisyen 2 dengan sembilan pasukan.

Kejohanan kali ini juga turut menampilkan pasukan dari Thailand, Singapura dan Indonesia yang akan berentap dalam divisyen 2.