IPOH: Perak menyasarkan kedudukan ketiga terbaik keseluruhan dalam Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2018.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pada tahun 2016, Perak menduduki tempat keempat daripada 18 pasukan yang mengambil bahagian, manakala di tangga kelima pada tahun lalu.

Beliau berkata, Perak akan mengambil bahagian di dalam semua 37 acara yang dipertandingkan pada tahun ini.

“Untuk mencapai sasaran ini, MAKSAK Perak telah membuat analisis dan meletakkan sasaran khusus bagi setiap acara dan kejohanan yang akan disertai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan MAKSAK Perak 2016 / 2017 di Hotel Casuarina @ Meru di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Kewangan Negeri merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK Perak, Datuk Mohd Gazali Jalal.

IMG-20180124-WA0041

Abdul Puhat berkata, berdasarkan analisis yang dibuat, sebanyak sembilan acara disasarkan untuk mendapat tempat pertama, tujuh acara di tempat kedua dan 20 lagi acara di tempat ketiga.

“Oleh yang demikian, semua pengerusi acara sukan yang telah dilantik perlulah membuat persiapan awal dalam memastikan MAKSAK Perak mendapat kedudukan yang terbaik dalam semua acara,” katanya.

Beliau berharap insentif yang diberikan dapat meningkatkan keyakinan dan menyemarakkan semangat peserta yang akan mewakili Perak dalam kejohanan itu, tahun ini.

Pada majlis itu, insentif kewangan bernilai RM70,000 diberikan kepada peserta yang menjadi johan, kedua dan ketiga dalam dua kejohanan MAKSAK sebelum ini.

Kejohanan MAKSAK 2018 akan bermula dengan acara badminton di Cyberjaya, Selangor pada 8 -11 Februari, diikuti ping pong pada 8 – 11 Mac di Kota Bharu, Kelantan dan bola tampar pada 22 – 25 Mac di Alor Setar, Kedah.