TANJUNG MALIM: Kerajaan negeri bersedia berbincang dengan mana-mana penerbit filem dan drama tempatan untuk memudahkan urusan permit penggambaran dalam usaha menjadikan negeri Perak sebagai lokasi penggambaran.

Menteri Besar ,YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan berusaha dan mencari jalan untuk mempermudahkan urusan yang berkaitan.

Menurut beliau, antara urusan itu termasuk untuk mendapatkan permit penggambaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, bomba dan sebagainya.

“Kerajaan negeri memahami kesulitan pihak produksi berurusan dengan pelbagai jabatan dan agensi untuk mendapatkan kebenaran melakukan penggambaran, jadi seperti cadangan saya sebelum ini untuk diadakan satu pusat sehenti (one stop centre).

“Mereka boleh pergi satu tempat untuk memohon dan mendapatkan semua kelulusan permit bagi memudahkan mereka membuat penggambaran filem atau pun drama,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media selepas melancarkan buku Cherita Sutradara & Seniman Mamat Khalid ditulis oleh Hassan Muthalib di Dewan Auditorium Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, di sini pada Sabtu.

Ahmad Faizal turut mengusulkan untuk mendapatkan pandangan para karyawan bagi merealisasikan cadangan tersebut dengan menjemput semua pembuat filem untuk membuat penggambaran di negeri ini.

“Kawasan Perak ini juga tidak begitu sibuk dengan orang ramai ataupun lalulintas, maka ianya memudahkan pembikin filem untuk membuat penggambaran. Negeri Perak sentiasa terbuka untuk menerima kedatangan pembikin-pembikin filem untuk membuat penggambaran filem di sini.

“Perak begitu kaya dengan keindahan buminya, bukan sahaja di kawasan-kawasan pedalaman tetapi juga di dalam bandar-bandar seperti bandaraya Ipoh, bandar Taiping yang mempunyai bangunan-bangunan warisan yang begitu indah, taman-taman seperti Lake Garden di Taiping, Taman D.R. di Ipoh dan sebaginya. Ini boleh dijadikan lokasi penggambaran filem yang menarik,” tambah beliau.

Dalam pada itu, penulis, Hassan menyifatkan Mamat Khalid sebagai penyambung tradisi penglipur lara di zaman siber yang mahir menyampaikan naratif bersandarkan alam dan kosmologi Melayu.

Hassan berkata, filem-filem arahan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia itu membawa wajah Melayu tulen yang tidak berwatak samseng, bohsia dan rempit.

“Jika diamati, watak rekaan Mamat semuanya manusia biasa, lucu dan berbudi bahasa di mana alam Melayu khususnya landskap Perak digambarkan dengan pebuh kasih sayang.

“Inilah wajah manusia Melayu suatu masa dahulu yang cuba dijelmakan semula oleh beliau dalam filem, maka layaklah ia digelar sebagai filem Melayu yang sesuai di era Malaysia Baharu,” ujarnya.