IPOH : Kerajaan negeri Perak sedia berkongsi pengalaman dan nasihat kepada negeri Johor dalam menganjurkan Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020, pada Julai depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia berikutan negeri Perak berpengalaman selaku tuan rumah SUKMA ke-19 pada tahun 2018.

Sehubungan itu katanya, Majlis Sukan Negeri Perak membantu menjayakan persiapan itu dengan meminjamkan peralatan sukan kepada Sekreteriat SUKMA Johor.

“Bantuan yang diberikan kepada negeri Johor ini lebih kepada nasihat supaya kekurangan yang pernah kita alami pada SUKMA ke-19 lalu tidak berulang.

“Saya percaya Johor telah mengambil iktibar dari SUKMA lain sebelum ini untuk memastikan SUKMA di Johor yang terbaik.

“Kita ada memberi pinjaman peralatan (sukan) judo, gimrama dan angkat berat kepada negeri Johor,”katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Negeri Perak bersempena Kejohanan SUKMA XX Johor 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Shahruddin Jamal serta delegasi kerajaan negeri Johor ke Perak.

SUKMA XX Johor 2020 akan berlangsung pada 11- 19 Julai 2020, manakala PARA SUKMA XX Johor 2020 pada 16-22 Ogos 2020.

Dalam pada itu, Shahruddin berkata Perak merupakan negeri kedua selepas Kedah untuk jemputan rasmi itu.

“Selain SUKMA, tahun ini juga merupakan Tahun Melawat Johor 2020, jadi harapan saya lebih ramai akan ke Johor, melawat sambil bersukan.

“InsyaAllah Johor akan cuba jadi tuan rumah yang terbaik,”katanya lagi.

Sebanyak 31 acara sukan akan dipertandingkan dengan melibatkan 39 venue di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar.

Manakala bagi PARA SUKMA pula, sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan dan kesemua acara akan berlangsung di daerah Johor Bahru.