KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak menyediakan RM500,000 dalam bajet tahun ini bagi memajukan sukan secara maya, e-Sport.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Khairul Shahril Mohamed berkata peruntukan itu disediakan untuk program bagi memajukan sukan tersebut.

Menurutnya, peruntukan tersebut bukan hanya sekadar untuk penganjuran pertandingan tetapi untuk memajukan e-Sport itu sendiri termasuk promosi.

“Kita yakin e-Sport berada dekat di hati golongan anak muda dan kita percaya sukan ini berpotensi menjadi industri seperti di luar negara serta dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” katanya di majlis perasmian USAS Santai Gaming di Universiti Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir ADUN Bukit Chandan Maslin Sham Razman, Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri Wan Yusof, Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS Anas Md.Yusof, Dekan Hal Ehwal Pelajar Dr. Ahmad Zaki Hasan, Dekan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat Prof. Madya Dr. Mohamad Amin Mad Idris, Pengerusi Persatuan Sains Teknologi dan Multimedia merangkap Pengarah Program, Wan Muhammad Afiq Wan Arif Fatillah dan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa USAS, Ariff Amirul Zaman.

Khairul Shahril mengucapkan tahniah kepada pelajar USAS yg menganjurkan kejohanan e-Sport tersebut dan berharap lebih banyak pertandingan sedemikian diadakan di negeri ini, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, promosi bagi aktiviti e-Sport akan diadakan oleh kelab e-Sport Perak dalam masa terdekat yang bertujuan untuk memberi kesedaran tentang sukan tersebut.

“Ramai yang masih beranggapan bahawa sukan ini (online game) tidak membawa faedah meskipun sebenarnya ia boleh memberi pelbagai kebaikan kepada pemain malah boleh menjana pendapatan disamping menajamkan minda dan daya pemikiran mereka.

“Malah ianya turut dipertandingkan di peringkat sukan berprestij,” katanya.

Menurutnya, pelbagai kajian telah membuktikan bahawa permainan secara online mampu memperbaiki fungsi otak serta mental pemain, malah mampu meningkatkan keupayaan mental dalam multi-tasking dan penyelesaian masalah yang pastinya dapat membantu pelajar dalam pendidikan mereka.

Sementara itu, penganjuran USG merupakan usaha untuk menyediakan platform bagi golongan muda melakukan aktiviti berfaedah sepanjang PKP.

Program dua hari ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Sains Teknologi dan Multimedia dan Majlis Perwakilan Mahasiswa USAS, menyaksikan 288 orang peserta bertanding untuk merebut hadiah terkumpul sebanyak RM4,000.

Sebanyak 32 pasukan bertanding dalam kategori Unknown Battle Ground (PUBG) dan 32 pasukan lagi dalam Mobile Legend Bang Bang (MLBB). Juara akan menerima RM900, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan memenangi wang tunai sebanyak RM700 dan RM400 bagi setiap kategori.

Majlis perasmian telah diadakan di studio USAS yang dilengkapi dengan kelengkapan skrin hijau dan peralatan terkini sesuai untuk kegunaan program tersebut.

Penganjuran program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara mahasiswa USAS sewaktu PKP.