IPOH: Pengecualian cukai pelancongan ke atas rakyat Malaysia adalah satu langkah tepat yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dalam negeri, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, keputusan itu akan menggalakkan masyarakat tempatan memilih produk dan destinasi pelancongan yang disediakan dalam negara selain mengurangkan beban rakyat.

“Saya fikirkan ini merupakan langkah-langkah yang akan membolehkan sektor pelancongan dalam negeri dapat berkembang dan dalam masa memberi manfaat secara terus kepada rakyat dan negeri.

“Ini juga akan membolehkan rakyat negara kita terus memilih destinasi-destinasi yang terdapat dalam negara; ini dengan sendirinya akan memberi pelbagai manfaat kepada semua pihak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk memberi pengecualian cukai pelancongan kepada rakyat negara ini yang akan bermula 1 Ogos depan.

Dr Zambry menambah, pengecualian itu juga akan memberi impak secara terus kepada Tahun Melawat Perak (TMP) 2017.

“Sudah tentu ia akan memberi satu lonjakan yang amat positif terhadap TMP. Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kerana mendengar pandangan daripada pelbagai pihak, khususnya rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Bermula 1 Ogos ini, cukai pelancongan itu hanya akan dikenakan kepada pelancong asing pada kadar rata RM10 seorang sebilik bagi semua hotel, dari yang tiada bintang sehingga kepada lima bintang.