SERI ISKANDAR: Kerajaan negeri Perak akan menambah bantuan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membuat ujian air kencing bagi mengesan kegiatan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, ujian itu akan dipertingkatkan memandangkan bilangan pelajar yang terlibat penyalahgunaan dadah di negeri ini semakin meningkat setiap tahun.

“Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada bilangan 200,000 pelajar di seluruh negeri ini dibuat ujian air kencing dan kalau itu dapat dilakukan ianya amat berjayalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Karnival Pendidikan & Pencegahan Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakub Bota dekat sini pada Selasa.

Program tersebut yang diadakan bersempena program Permukiman YAB Menteri Besar di Perak Tengah dihadiri lebih 300 orang pelajar dan warga pendidik.

permukiman-dana-aadk 3

Samsudin berkata, kerajaan negeri komited untuk memerangi isu dadah secara habis-habisan kerana ia dianggap serius dan selaras dengan matlamat pelajar bebas dadah.

Justeru itu, katanya, soal menangani isu dadah bukan terletak hanya kepada AADK, polis dan pihak penguatkuasa, sebaliknya semua pihak perlu bersama-sama bertanggunggjawab.

“Sebagai ketua keluarga, ibu dan ayah, ketua kampung, tok imam, ketua-ketua masyarakat termasuk guru-guru, tolong pastikan bahawa masalah dadah tidak berlaku di negeri ini,” ujarnya.

 

permukiman-dana-aadk 2