IPOH, 28 DIS : Perak telah menanam lebih 10 juta pokok di seluruh negeri itu sejak kempen penanaman 26 juta pokok berlangsung mulai tahun 2010.

Bagi tahun ini sahaja, lebih 1.2 juta pokok telah berjaya ditanam di Hutan Simpanan Kekal Negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, Perak mempunyai hampir satu juta hektar Hutan Simpanan Kekal dan hampir setengah juta hektar hutan perlindungan untuk pelbagai tujuan seperti hutan lipur, perlindungan hidupan liar, penyelidikan dan tadahan hujan.

“Selain itu, Perak juga telah melaksanakan program penghijauan di peringkat negeri di antaranya Perak Oxygen Land Bank yang telah diwar-warkan kepada media pada 20 Jun 2019 semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang bertempat di Taman Eko Rimba Kledang Saiong.

“Perak Oxygen Land Bank merupakan program jangka panjang yang telah dirasmikan pada 20 November 2019 dan masih diteruskan.

“Sehingga kini sejumlah RM193,000 telah diterima oleh kerajaan negeri untuk menjalankan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan,” katanya.

Beliau ditemui selepas rakaman program penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin dan Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Menurut Saarani, mulai tahun ini juga, Jabatan Perhutanan Negeri telah melancarkan program bumi hijau sebagai salah satu platform untuk menggalakkan aktiviti penanaman pokok oleh syarikat swasta.

Aktiviti pemulihan dan penanaman pokok telah dijalankan di Hutan Simpan Chikus, Daerah Hutan Perak Selatan yang melibatkan kira-kira 15,000 pokok hutan.