JAKARTA: Perak harus memanfaatkan kehadiran tiga juta pelancong Indonesia ke Malaysia setiap tahun dengan mengetengahkan potensi pelancongan yang ada. Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata ketika ini, sebanyak 600 penerbangan beroperasi dari Indonesia ke Malaysia, seminggu serta 22 penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur.

“Ini bermakna tumpuan terhadap pasaran Indonesia (terhadap produk pelancongan negara) sangat hebat dan menggalakkan. “Pejabat kedutaaan serta pejabat Tourism Malaysia yang ada di kedutaan memang sentiasa mempromosikan produk pelancongan negara di Indonesia secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Rangkaian Pelancongan sempena Misi Penggalakan Pelancongan Tahun Melawat Perak (TMP) 2017, di sini, malam tadi.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Zahrain berkata, masih ramai penduduk Indonesia yang tidak mengetahui secara jelas kedudukan Perak dan apa yang ditawarkannya.

Sementara itu, Zambry berkata, pihaknya menjangkakan promosi penggalakan pelancongan sempena TMT 2017 akan memberikan impak baik dalam memperkenalkan, mengetengahkan dan menonjolkan Perak sebagai destinasi pelancongan pilihan.

“Duta Besar Malaysia ke Indonesia juga sudah memaklumkan potensi yang ada dan menjadi tanggungjawab kita juga untuk membantu memperkenalkan Malaysia,” katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/280927