IPOH: Perak menerima 1,030 tempahan hotel sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, berdasarkan data dari Tourism Perak, antara kawasan tumpuan pelancong ialah Pulau Pangkor, Taiping dan Ipoh.

Menurutnya, terdapat kira-kira 100 pengusaha hotel di Perak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Setakat ini 40 daripadanya telah memaklumkan mereka mula menerima tempahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Garis Panduan Amalan Terbaik Produk Pelancongan Negeri Perak Pasca COVID-19 di sini, hari ini.

Menurutnya, garis panduan itu adalah inisiatif kerajaan negeri ke arah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengawalan COVID-19 untuk meningkatkan keyakinan pelancong datang ke Perak.

“Kita bekerjasama dengan pengusaha industri untuk melaksanakan garis panduan ini seperti pemakaian ‘mask, hand sanitizer’ serta penjarakan sosial apabila semua pusat penginapan dan aktiviti pelancongan beroperasi seperti biasa bermula semalam,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata pihaknya akan memberi tunjuk ajar kepada pengusaha hotel untuk melakukan proses sanitasi di premis masing-masing sebelum memulakan operasi.

“Ini termasuk bahan yang digunakan, apa campuran (cecair pembasmi kuman) yang perlu digunakan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT), Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, mereka akan membuka semula Petting Zoo dan hotel kepada orang ramai mulai Sabtu ini.

Menurutnya, kemasukan pengunjung akan dihadkan kepada hanya 8,000 orang pada satu-satu masa, berbanding kapasiti maksimum 38,000 pengunjung.

Bagaimanapun, ujarnya, seiring dengan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak akan dibenarkan masuk.