SLIM RIVER: Perak meneruskan Program Prihatin Rakyat yang diperkenalkan tahun lalu untuk membantu golongan sasar melibatkan keluarga berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar.

Penerusan itu turut menyaksikan tambahan penerima dan peruntukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pada 2019, sebanyak RM22 juta peruntukan disedia untuk 17,000 penerima manakala tahun ini peruntukan menjadi RM25.2 juta untuk 20,000 penerima.

Menurutnya, permohonan untuk menyertai mendapatkan kad prihatin itu masih terbuka dan ia diluluskan mengikut fasa.

“Setiap permohonan akan disiasat terlebih dahulu, termasuk tapisan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerimanya,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian Kad Prihatin kepada 50 penerima di sebuah pusat membeli belah di sini, hari ini

Program Perak Prihatin melibatkan dua jenis program iaitu Program Kad Makanan dan Kad Kesihatan.

Program ini merupakan satu skim bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan barangan keperluan dan kos perkhidmatan kesihatan di klinik atau pusat perubatan swasta.

Para pemegang kad Perak Prihatin layak untuk membeli barangan asas makanan bernai RM80 sebulan di kedai-kedai runcit yang berdaftar serta kemudahan mendapatkan rawatan kesihatan sehingga RM300 setahun

di mana-mana klinik panel terpilih.

Transaksi pembelian dan perkhidmatan adalah secara tanpa tunai (cashless) yang boleh digunakan di kedai/pasaraya dan klinik yang dilantik sebagai panel.

Wan Norashikin berkata, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan diminta mengemukakan 50 nama untuk dipertimbangkan manakala di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pegawai Daerah akan mengemukakan bilangan yang sama.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan, senarai nama yang diterima itu akan diteliti dan disiasat terlebih dahulu.

Beliau menasihatkan penerima Kad Prihatin supaya mengaktifkan kad masing-masing bagi membolehkan mereka menggunakannya.