SERI ISKANDAR: Kerajaan negeri Perak akan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pengetahuan mengenai ilmu faraid dan pengurusan harta pusaka di kalangan umat Islam di negeri ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria meminta guru-guru agama bertauliah supaya sama-sama memainkan peranan tersebut.

Menurut beliau, di samping ilmu tauhid dan fekah, ilmu faraid juga sangat penting kerana kegagalan memahaminya boleh menyebabkan berlaku perbalahan di antara waris.

b794d6ff-c9b0-4629-985e-e3a6e6800c03“Rakyat juga perlu ada pengetahuan dan pemahanan mengenainya, supaya tidak berlaku perbalahan, pergaduhan atau sengketa antara keluarga, hanya kerana peninggalan harta yang tidak dikelola secara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Seminar Asas Pembahagian Harta Pusaka dan Ilmu Faraid di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini pada Selasa.

Seminar anjuran Pejabat Agama Islam Perak Tengah itu dihadiri kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai masjid, guru-guru KAFA, ketua-ketua jabatan di daerah dan pemimpin masyarakat.

Drs Nizar berkata, walaupun terdapat pejabat agama, mahkamah syariah dan Amanah Raya Berhad (ARB) yang boleh menjadi tempat rujukan, tetapi pemahaman asas juga amat penting.

1eb76887-4668-4a31-a291-d522a415d975

“Sebab itu kita adakan program-program seperti seminar dan kursus untuk memberi pendedahan kepada umat Islam di negeri ini.

“Supaya rakyat memahami dan menyedari betapa pentingnya harta-harta peninggalan dibahagi mengikut kaedah yang adil kepada semua pihak, khususnya ahli keluarga dan waris,” ujarnya.

Sementara itu, di dalam ucapannya, Drs Nizar berharap agar para peserta seminar dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperolehi di dalam kehidupan seharian kerana ia serta sedikit mampu membantu menyelesaikan masalah masyarakat.