IPOH: Kerajaan neger Perak mengambil langkah pro-aktif untuk memperkasakan sukan elektronik di negeri ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Protem E-Sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Sukan Dan Belia Negeri Perak, Howard Lee Chuan How berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab menjalankan kajian menyeluruh dan memberi cadangan mengenai peraturan dan insfrastruktur yang diperlukan kepada Majlis Sukan Elektronik Perak.

Menurut beliau, keahlian barisan jawatankuasa itu mengambil kira pelbagai sudut, seperti kepakaran, pengalaman, jaringan glokal dan hasil penelitian gerak kerja.

“Beberapa ahli akan dilantik untuk fasa pertama mengikut keperluan dan akan ditambah dari semasa ke semasa. Ahli jawatankuasa juga terdiri daripada ahli di luar dan dalam Perak, bagi mempertingkatkan sumber dan idea,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Sebagai permulaan, Jawatankuasa Protem E-Sukan terdiri daripada Howard Lee sendiri sebagai pengerusi manakala anggota lain ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO; Hasnul Zulkarnain Munaim; Ketua Pegawai Ekeskutif Perpadanan Aspirasi Anak Perak (PASAK), Jim Khong; wakil Majlis Bandaraya Ipoh; wakil pejabat Penasihat Undang-Undang Perak, wakil Telekom Malaysia, Presiden Perak Esports Profesional Association (PEPA) dan Adrian Gaffor dari The Gaming Company.

Baru-baru ini, Howard Lee mengumumkan penubuhan Majlis Sukan Elektronik Perak akan dibuat melalui proses undang-undang yang akan dibentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, kerajaan negeri Perak menjadi pelopor acara sukan elektronik dengan mengetengahkan Esports Experience sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XIX yang berakhir 22 September lalu.

Beliau memberitahu, program dua hari itu mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran lebih 2,000 orang untuk menyaksikan pameran di samping lebih 160 peserta mengambil bahagian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang mengenalpasti lokasi yang sesuai serta kemudahan yang diperlukan untuk dijadikan Taman Esports, seperti yang diumumkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, baru-baru ini.

“Kita akan meneliti pelbagai perkara, antaranya kemudahan dan infrastruktur pendawaian dan rangkaian internet,” katanya sambil berharap inisiatif baru itu akan memberi manfaat kepada rakyat Perak.

Beliau menambah, sekiranya model Pusat Esports di Ipoh berjaya, ia akan dijadikan rangka kerja kepada setiap daerah, terutama di bandar-bandar besar di seluruh Perak.