TANJUNG MALIM – Perak akan menubuhkan lebih banyak rumah ngaji, termasuk di pejabat-pejabat kerajaan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan cemerlang.

Setakat ini, perak mempunyai 82 buah rumah ngaji, termasuk dua di hospital kerajaan, menjadikannya negeri paling banyak mempunyai rumah ngaji.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara pejabat kerajaan yang dicadangkan ialah pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Rumah Ngaji ni boleh kita perluaskan di pejabat-pejabat kerajaan lain, mungkin boleh kita mulakan juga di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, mungkin Menteri Besar dan Exco juga boleh melibatkan diri dalam program di rumah ngaji ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Rumah Ngaji Hospital Slim River, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Mohd Akmal Kamarudin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Ahmad Saidi Mohamad Daud; Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim dan pengasas Warisan Ummah Ikhlas Foundation, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Rumah Ngaji Hospital Slim River mempunyai keunikan kerana idea penubuhannya dicetuskan pengarahnya yang bukan beragama Islam, Dr. S. Sivanandarajah.

Menurut Dr Sivanandarajah beliau sentiasa berpendapat ketika usaha membangunkan dan memperkembangkan perkhidmatan perubatan yang dilakukan, tumpuan juga harus diberikan kepada pembangunan modal insan.

“Bagi saya warga kerja hospital yang juga merupakan aset yang paling bernilai kerana mereka adalah asas kejayaan kepada hospital ini,” ujarnya.

Beliau yakin dengan adanya rumah ngaji itu, akan melahirkan warga kerja yang komited dan ikhlas melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing.