IPOH: Kerajaan negeri Perak telah menubuhkan Pusat Pembangunan Usahawan (PPU) di Bandar Meru Raya selaras dengan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Peniaga Kecil 2016 – 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, pusat ini antara lain untuk membantu melonjakkan usahawan Perak ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut beliau, PPU juga diwujudkan bagi membantu usahawan memasarkan produk industri desa ke pasaran tempatan untuk meningkatkan jualan dan pendapatan mereka.

“Pelbagai jabatan dan agensi berkaitan keusahawanan di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan terlibat dalam penyediaan pelbagai perkhidmatan di PPU ini, termasuk memberi khidmat nasihat dan informasi serta inisiatif-inisiatif kerajaan dalam membantu usahawan di negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Samsudin memberitahu, di bawah satu bumbung, PPU dapat menyelaras dan melaksanakan program-program latihan dan keusahawanan di antara agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan.

Di samping itu, kata beliau, PPU itu juga menyediakan ruang pameran dan jualan yang menempatkan pelbagai jenis produk usahawan bumiputera di negeri ini.

Menurutnya, pelbagai faedah akan dapat diperolehi oleh usahawan yang berdaftar dengan PPU itu seperti akses kepada pasaran dan eko sistem perniagaan, pemantapan perniagaan melalui penerapan inovasi dan teknologi serta tempat bertukar-tukar maklumat di antara usahawan.

“Latihan dan program keusahawanan juga akan dapat diselaraskan dengan mudah oleh agensi-agensi berkaitan di PPU ini dengan usahawan terbabit melalui kerjasama yang menyeluruh antara kedua-dua pihak, tanpa banyak birokrasi dan pertindihan peranan,” ujarnya.

Menurut Samsudin, sebelum kewujudkan PPU, usahawan terpaksa pergi ke agensi-agensi yang berlainan di tempat-tempat yang berlainan untuk mendapatkan segala bantuan, termasuk latihan.

“Dengan adanya PPU ini, segala masalah usahawan dapat diselesaikan dengan pelbagai agensi secara bersepadu,” tambah beliau.

Katanya, antara khidmat yang ditawarkan oleh PPU itu ialah pendaftaran perniagaan, kaunter informasi, maklumat pensijilan seperti halal, SIRIM, MESTI dan GMP; maklumat permohonan pembiayaan, latihan dan bantuan perniagaan.

Menurutnya, buat masa ini, perkhidmatan yang ditawarkan itu disediakan sebanyak dua kali seminggu dan akan ditambah dari semasa ke semasa.