IPOH: Kerajaan negeri menunaikan janji apabila menyerahkan surat tawaran bagi tapak kediaman kepada para pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak yang memenangi Piala Malaysia pada musim 2018.

Penyerahan surat tawaran itu disempurnakan Menteri Besar yang juga Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) di sini, malam tadi.

Pengurus Pafa, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, pihaknya berterima kasih kepada Ahmad Faizal kerana prihatin dengan memberikan hadiah cukup istimewa sempena kemenangan Perak selepas penantian 18 tahun.

“Dengan pemberian ini, ia menyuntik semangat para pemain untuk merebut kejuaraan pada masa akan datang,” katanya.

Kelulusan lot tapak kediaman berkenaan di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Piala Malaysia 2018 dalam Mukim Hulu Kinta itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri ekoran kejayaan Perak merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada 27 Oktober 2018.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, Ahmad Faizal mahu pemain muda bola sepak pasukan Perak pergi lebih jauh, tidak hanya setakat mewakili negeri mahupun Malaysia.

“Hari ini kita sibuk cakap pasal pemain import tetapi saya impikan pemain kita dapat bermain di luar negara. Walaupun orang kata saya berangan-angan tetapi saya yakin kita dapat melakukannya.

“Jika kita bermain dengan bersungguh-sungguh, saya rasa pemain kita dapat mewakili pasukan yang lebih baik, jangan pandang belakang, sebaliknya terus perbaiki diri untuk berjaya,” ujarnya.