KUALA LUMPUR: Perak sedia mempertimbangkan untuk beraksi pada playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan sekiranya ditawarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin bagaimanapun menjelaskan mereka perlu menunggu keputusan sama ada juara Piala FA musim ini, Pahang boleh beraksi atau tidak dalam saingan tertinggi Asia itu.

“Sekarang ini Pahang yang sepatutnya layak tapi saya difahamkan mereka dalam penggantungan FAM. Jadi kami kena tengok keputusan rayuan mereka dulu.

“Seandainya Pahang tidak boleh beraksi, barulah slot itu akan jatuh kepada Perak sebagai naib juara liga dan kami akan pertimbangkan jika mendapat tawaran itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) digantung dua tahun daripada memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) oleh FAM selepas menolak tawaran menyertai Piala AFC 2018 menggantikan Kedah yang gagal dalam permohonan mendapatkan lesen kelab AFC.

Dalam perkembangan lain, Aziz mengesahkan tiada perbincangan lanjut dilakukan mengenai masa depan jurulatih Mehmet Durakovic yang dikhabarkan akan kembali membimbing Selangor musim depan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum dihubungi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ketika kontrak Durakovic berakhir hujung tahun ini.

“Setakat ini tiada rundingan, sebab kalau nak berunding pun beliau (Durakovic) masih tertakluk kepada kontrak dan beliau kena ikut prosedur.

“Selepas habis kontrak, mungkin tiada masalah untuk perkara itu dibincangkan. Bagi saya itu semua hanya spekulasi biasa dalam bola sepak terutama apabila menghampiri hujung musim.

“Apa yang penting ketika ini pengurusan PAFA hanya meminta Durakovic supaya lebih fokus kepada Piala Malaysia,” katanya.