IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak yakin dapat mencapai sasaran pendapatan negeri 2018 menjelang hujung tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat 31 Oktober, kerajaan negeri berjaya memperolehi hasil keseluruhan RM841.43 juta ataupun 81 peratus daripada sasaran RM1.046.

“Kerajaan negeri sentiasa memantau agar hasil yang disasarkan tersebut dapat dicapai bagi tahun 2018,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Saarani Mohamad (BN – Kota Tampan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri komited untuk mencapai sasaran pendapatan bagi tahun 2018 dan tahun-tahun seterusnya menerusi strategi jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

Beliau memberitahu, antara langkah yang diambil ialah dengan memantau kutipan hasil kerajaan negeri, terutama melalui jabatan-jabatan tertentu seperti Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Perhutanan.

Selain itu, kata Ahmad Faizal, kerajaan negeri turut mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu-isu kutipan hasil negeri, menerusi perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga terus merangka strategi-strategi untuk meningkatkan hasil sedia ada, antaranya memudahkan cara pembayaran cukai tanah, dengan yang terbaru melalui aplikasi Jom Pay yang boleh dibuat 24 jam tanpa sebarang caj tambahan.

“Pada masa sama, kerajaan terus mencari jalan untuk meneroka hasil-hasil baru, contohnya menerusi caj air bawah tanah dan pembinaan menara telekomunikasi,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga tidak mahu hanya bergantung kepada hasil hutan atau hanya tertumpu kepada hasil berkaitan pembalakan sahaja.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah mengenalpasti hasil-hasil baru, antaranya menerusi caj laluan talian rintis yang melalui hutan-hutan simpan di negeri ini.

Bagaimanapun, kata beliau, pendapatan daripada kutipan ini mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan isu perundangan.

Menjawab soalan tambahan wakil yang sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga sentiasa berhati-hati di dalam setiap perbelanjaan yang digunakan.

“Bagaimanapun, saya yakin, menjelang hujung tahun ini, kita akan mengakhiri dengan menutup akaun dengan surplus, iaitu lebihan,” katanya sambil memberitahu, kerajaan negeri juga berusaha untuk mendapatkan semula tunggakan-tunggakan, terutamanya daripada kerajaan Persekutuan.

Kepada soalan tambahan Ko Chung Sen (DAP – Kepayang), Ahmad Faizal memberitahu, kerajaan telah mengenal pasti kelemahan dan kekurangan di dalam akaun beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurutnya, kerajaan negeri masih dalam penelitian dengan melakukan audit forensik untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan itu.

“Kita juga sedang meneliti beberapa perjanjian yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini untuk kita pastikan kepentingan kerajaan akan lebih terjaga,” kata beliau.

Beliau bagaimanapun tidak mahu membuat kesimpulan sama ada berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa dan memberi jaminan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya ia berlaku.