Presiden PKR, Anwar Ibrahim menafikan dakwaan wujudnya konspirasi dalam Pakatan Harapan untuk menghalang beliau daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang akan datang.

“Saya tidak pernah kata begitu. Berita palsu tidak akan dilayan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat majlis presiden Harapan di Kuala Lumpur petang ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dan presiden Amanah Mohamad Sabu.

Anwar diminta mengulas mengenai laporan Financial Times, yang memetiknya sebagai berkata terdapat pihak yang atas sebab mereka sendiri ingin mensabotaj rancangan itu.

Beliau juga dipetik laporan itu berkata terdapat beberapa orang dalam gabungan parti pemerintah mempunyai agenda yang berbeza.

Presiden PKR berkata apa yang beliau maksudkan adalah terdapat elemen tertentu yang mungkin tidak setuju dengan pelan peralihan kuasa itu.

Azmin batu penghalang

“Ia satu proses demokrasi. Apa yang penting Harapan (telah) bersetuju dan Mahathir dan saya telah bersetuju (mengenai peralihan kuasa),” jelasnya lagi.

Laporan Financial Times juga menyebut Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali boleh menjadi batu penghalang untuk Anwar menjadi perdana menteri yang seterusnya.

“Orang-orang Azmin. . . mungkin memperlahankan, atau menambah ketidakpastian mengenai Anwar menjadi perdana menteri dengan harapan ini akan memberikan Azmin lebih banyak masa untuk meletakkan kedudukan dirinya sebagai pengganti Mahathir, ” kata Pengarah Asia bagi Eurasia Group, Peter Mumford.

Sementara itu, Anggota Parlimen PKR, Wong Chen memberitahu Financial Times bahawa para MP cemas dengan situasi ini tetapi kebanyakannya yakin Anwar akan tetap menjadi perdana menteri yang akan datang.

“Majoriti kita masih percaya peralihan akan berlaku yang mana Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri pada akhir tahun 2019 atau awal tahun 2020,” katanya.

Mengenai Azmin, Wong berkata menteri hal ehwal ekonomi berusia 54 tahun itu mungkin memimpin negara itu dalam masa lima atau 10 tahun.

“Beliau masih setia kepada parti itu dan belum membuktikan (prestasi) dirinya sebagai seorang menteri [lagi],” kata ahli parlimen Subang.

Sebelum PRU14, PH mengumumkan Mahathir akan menyerahkan kepimpinan kepada Anwar selepas dua tahun jika gabungan itu dapat mengambil alih kuasa.

Bagaimanapun, setiausaha agung PH Saifuddin Abdullah semalam mengulangi tidak ada tarikh akhir rasmi pelan tersebut – Malaysia kini