BELAGA: Seorang lelaki mengalami kecederaan serius di tangan kirinya apabila perangkap haiwan liar yang mengandungi bahan letupan buatan sendiri tiba-tiba meletup, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 50-an sedang membuat perangkap berkenaan di sebuah pondok di kebun kelapa sawit di Skim Penempatan Semula Sungai Asap, di sini.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga, Asisten Superintendan Mohd Sani Junid, berkata lelaki terbabit membuat perangkap yang dilengkapi bahan letupan itu bagi menangkap haiwan liar yang berkeliaran di sekitar kebun sawit.

“Adalah difahamkan, mangsa turut mengalami kecederaan teruk pada ibu jari sebelah kanan dan beberapa bahagian badan termasuk kaki,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Mohd Sani berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Asap kira-kira jam 3 petang semalam sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

“Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada pekebun atau pemburu supaya tidak menghasilkan apa sahaja bahan letupan bagi tujuan pemburuan atau memerangkap haiwan liar, kerana ia boleh mendatangkan malapetaka buat diri sendiri serta individu yang ada berdekatan – berita harian