IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan lima hari bermula 11 Nov ini untuk perbicaraan kes membabitkan Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, Julai lepas.
Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu semasa sebutan semula kes itu di sini, hari ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah pada 23 Ogos lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman, manakala Yong diwakili peguam bela Ram Karpal Singh dan disertai Farhan Sapian, ADUN Malim Nawar Leong Cheok Keng dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.