MUAR : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiba di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1, di sini, bagi menziarahi pusara ayahanda, bonda dan keluarganya.

Muhyiddin tiba bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum menuju pusara ayahanda, Muhammad Yassin Muhammad dan bondanya, Khadijah Kassim.

Beliau dilihat menjirus air mawar di kedua-dua pusara sebelum membaca doa untuk arwah ahli keluarga.

Muhyiddin dan Noorainee kemudian menghadiri majlis tahlil dan bacaan yassin di wakaf tanah perkuburan berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang Sabtu berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di Istana Negara dan memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada jam 7.55 pagi tadi.