KUALA KANGSAR: Pergeseran dalam kalangan ahli parti di peringkat bahagian mengenai soal pemilihan calon merupakan senario biasa setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia merupakan proses yang perlu ditempuhi oleh mana-mana parti politik di negara ini dan bukan perkara yang serius.

“Ia bukan soal gaduh atau tidak, ianya merupakan satu proses kerana pemilihan calon-calon untuk setiap kerusi itu mempunyai kriteria yang amat ketat jadi akan ada calon yang digugurkan, dikekalkan dan juga yang baharu.

“Bagi saya ia bukan satu isu besar, paling penting kita mahukan calon yang “winable”,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri Perak di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai pergaduhan yang berlaku di beberapa bahagian di Perak ketika ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Katanya Dr Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, pucuk pimpinan telah pun menetapkan kriteria ketat yang perlu dipenuhi oleh calon yang bakal dipilih justeru ia perlu dituruti.

“Pengerusi BN (Datuk Seri Mohd Najib Razak) telah menetapkan kriteria yang perlu dipenuhi oleh kita dan memang menjadi pendekatan BN untuk mengadakan sesi musyawarah ketika memilih calon-calon.

“Jadi ia proses biasa dan tidak akan menimbulkan masalah yang besar, kita perlu memastikan kawasan-kawasan yang ditandingi termasuk kawasan dijadikan fokus menang,” ujar beliau.

Tambah beliau, sebaik proses itu selesai, pihaknya yakin kesemua ahli akan bersatu serta bekerja sebagai satu jentera pada PRU14 nanti untuk memenangkan BN di bahagian masing-masing.