Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA LUMPUR: Iron Lady Malaysia, Datuk Dr Maznah Hamid,disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) sekitar pukul empat petang pada Rabu.

Wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan yang dikenali Securiforce itu menghembuskan nafas terakhinya di IJN selepas menjalani tiga pembedahan melibatkan injap jantung pada lima hari lepas.

Maznah, 62, sebelum ini dimasukkan ke IJN dalam keadaan kritikal susulan komplikasi jantung.

Dilahirkan pada tahun 1955, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd itu menjadi inspirasi buat golongan wanita serta rakyat Malaysia kerana telah mempunyai 68 cawangan dan berjaya menyaingi 500 buah syarikat keselamatan lain di dunia.

Securiforce kini bukan hanya sebuah syarikat keselamatan biasa tetapi, syarikat itu telah berkembang seiring teknologi semasa dengan melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa berkonsepkan, Total Security Solution.

Securiforce Logistik merupakan ejen penghantaran darat, laut dan udara yang mana memiliki cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman.

Dalam masa yang sama, Maznah turut menceburi bidang hartanah melalui syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd.

Apa yang membanggakan anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, Kedah ini, beliau menubuhkan Maznah Motivational Centre bagi membantu usahawan baharu serta mereka yang pernah gagal dalam kehidupan mendapat motivasi diri.

Berbekalkan pengalaman 30 tahun dalam bidang perniagaan, Maznah telah membuka Klinik Keusahawanan di seluruh negara bagi membantu mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Pemilik Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Modal Pembangunan Insan dari Central State Univerity of New York ini telah menerbitkan beberapa buah buku motivasi.

Antara buku mendapat sambutan hangat bertajuk Motivasi Memburu Kejayaan dan buku mini siri Rahsia 3K- Kejayaan, Kebahagiaan dan Kekayaan.

Wanita gigih ini pernah menjadi duta untuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), mempromosikan ‘Keusahawanan Suatu Kerjaya Pilihan’, di mana beliau bertindak memberi motivasi keusahawanan, peluang dan cabaran melalui seminar kepada semua graduan.