KLUANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Johor berkongsi kegembiraan selepas menyambut kelahiran seekor anak tapir semalam.

Anak tapir seberat 8.60 kilogram itu dilahirkan kira-kira jam 4 petang di Projek Konservasi Tapir Sungai Dusun di Selangor.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban, berkongsi kegembiraan itu melalui Twitter jabatannya mengumumkan kelahiran hasil daripada pasangan Mala (ibu) dan Boy (bapa).

“Untuk itu, saya menjemput orang ramai untuk sama-sama mencari nama sesuai untuk anak tapir ini dengan berkongsi pendapat di Twitter milik jabatan kami dan ianya sekadar dilakukan secara sukarela sahaja.

“Semoga dengan adanya cadangan daripada orang ramai ini nanti akan membolehkan anak tapir berkenaan mempunyai satu nama yang cantik dan baik untuk dikongsi bersama rakyat negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Salman, pihaknya juga amat berterima kasih atas sambutan orang ramai yang sudah memuat naik pelbagai nama di laman Twitter milik jabatan itu dan nama yang diberikan itu akan dipertimbangkan satu persatu.

“Setakat ini kami sudah menerima kira-kira 9,900 komen dengan 16,000 tanda suka dan ianya satu yang amat menggalakkan khususnya daripada rakyat di negeri ini,” katanya.