BAGAN DATUK – Jabatan Perikanan Perak menahan dua bot pukat tunda tempatan dan merampas 200kg pelbagai jenis ikan bernilai lebih RM1 juta di perairan Pulau Lalang di sini semalam.

Dalam pemeriksaan pada jam 8.40 hingga 9 pagi itu, kedua-dua bot berkenaan yang berada di kawasan perairan 0.7 dan 1.1 batu nautika dikesan menggunakan khidmat nelayan asing tanpa kebenaran.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan menggunakan saiz mata pukat kurang 38mm selain kod zon tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

“Dalam pemeriksaan itu, kita menahan enam kru warga Myanmar masing-masing berusia antara 40 hingga 50 tahun itu untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua bot tempatan ini melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu tidak diusahakan sendiri empunya vesel dan menggaji pekerja asing tanpa surat kebenaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, bot terbabit dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.