Segamat: Seramai 440,000 pekebun kecil getah di seluruh negara bakal mendapat manfaat dengan langkah kerajaan memperkenalkan penggunaan getah untuk pembinaan jalan di negara ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penggunaan getah menerusi campuran getah asli sebagai bahan tambahan dalam campuran asphalt (CMA) diperkenalkan dalam projek membina semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat sejauh 10 kilometer dari Desa Temu Jodoh hingga Kampung Kwong Sai, dekat sini.

Katanya, beliau dimaklumkan Kementerian Kerja Raya bahawa teknologi CMA adalah antara kaedah penurapan jalan baru yang boleh mengurangkan keretakan, aluran dan kos penyelenggaraan masa panjang yang menjimatkan.

Beliau berkata, teknologi CMA yang juga satu penemuan baru penggunaan getah untuk pembinaan jalan raya memperlihatkan usaha agensi kerajaan yang komited menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk serta teknologi baru di negara ini demi kepentingan rakyat.

“Saya mengesyorkan supaya teknologi CMA ini diguna pakai secara meluas di seluruh negara selepas projek perintis dilaksanakan di sini di antara Desa Temu Jodoh dan Kampung Kwong Sai.

“Langkah ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada seramai 440,000 pekebun kecil getah meningkatkan pendapatan mereka malah Lembaga Getah Malaysia (LGM)juga sudah memetrai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kementerian Kerja Raya bagi melaksanakannya ke seluruh negara.

“Penggunaan getah asli dalam pembinaan jalan bukan saja mampu meningkatkan pengeluaran getah negara malah dapat mengurangkan stok getah semasa, seterusnya meningkatkan harga komoditi terbabit.

“Malaysia yang juga pengeluar getah asli kelima terbesar dunia patut memanfaatkan industri getah negara apatah lagi sebanyak 95 peratus daripada 720,000 tan getah asli yang dihasilkan di negara ini dibekalkan oleh pekebun kecil pada 2016/2017,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Membina Semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat dari Kampunh Desa Temu Jodoh hingga Kampung Kwonh Sai di Taman Tenang Jaya di sini, semalam – metro