IPOH, 22 DIS : Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Perak dilanda kontroversi susulan peletakan jawatan bendahari persatuan yang ditohmah melakukan pecah amanah dan tidak ikut beberapa prosedur dalam persatuan itu..

Kes tersebut berlaku susulan bekas ketua polisnya iaitu Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid membuat laporan polis ke atas Bendahari Perkep negeri pada September lalu.

Razarudin yang berkhidmat di Perak dari 2019 hingga 2020 menjadi penasihat Perkep Perak manakala isterinya dalam tempoh tersebut menyandang jawatan Pengerusi Perkep. Razarudin kini dilantik Pengarah Narkotik Bukit Aman.

Sumber berkata, dalam laporan tersebut Razarudin mendakwa, bendahari Perkep yang ketika itu disandang pegawai polis wanita berpangkat Deputi Superintenden (DSP) melakukan pecah amanah selain melanggar peraturan membabitkan wang persatuan.

“Antara dakwaan ialah memegang wang tunai lebih RM1,000 pada satu-satu ketika, menguruskan bayaran dan kutipan wang melebihi jumlah RM30,000 bagi program persatuan menggunakan akaun peribadi, menyediakan penyata kewangan tidak jelas dan beberapa kali dikesan membuat tuntutan duit persatuan tanpa resit,” dedah sumber itu kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kata sumber itu, susulan laporan polis tersebut DSP berkenaan meletakkan jawatan sebagai bendahari Perkep sebelum didakwa diarahkan bertukar ke Pulau Pinang.

Kontroversi dalam persatuan tersebut bertambah kompleks apabila DSP berkenaan minggu lalu membuat laporan balas membabitkan dirinya.

Kata sumber lagi, terdapat dakwaan dalam kalangan ahli-ahli Perkep lain yang mahukan bekas pengerusi Perkep sebelum ini turut bertanggungjawab mengenai laporan polis dibuat Razarudin dan bukan meletakkan dakwaan ke atas DSP berkenaan semata-mata.

Kes tersebut didakwa sudah dalam pengetahuan Bukit Aman dan usaha Utusan Malaysia mendapat maklumat sah daripada Ketua Polis Negeri dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah tidak berjaya ekoran pihak berkenaan enggan memjawab mesej di aplikasi WhatApps.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani hanya memberi respon `tiada komen’ ketika diajukan soalan tersebut manakala Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya juga gagal mendapat maklum balas.

Objektif penubuhan Perkep adalah untuk menjalinkan hubungan kekeluargaan dalam pasukan. – UTUSAN