ULU KINTA: Kerajaan sedia bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi memperhalusi cadangan untuk memperketatkan kandungan yang dimuatnaik di media sosial yang kini dilihat menjurus kepada pandangan yang bertentangan dengan ajaran Islam, khususnya dari golongan liberal dan murtad,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri menegaskan pihaknya juga sedia untuk mengadakan sesi dialog dengan golongan liberal dan murtad yang mempunyai kemusykilan berkaitan agama Islam.

“Yang itu perlu kepada perbincangan lebih lanjut lagi, kami akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara begitu juga dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sebahagiannya kami telah bincang tapi lebih tepat lagi perlu diperhalusi pelbagai isu dan solusi yang lain.

“InshaAllah kita akan cuba kemukakan sebuah jawapan, apa-apa yang berkaitan dengan kekeliruan tentang Islam untuk diberi pencerahan dan penerangan kepada masyarakat, kita sedia berdialog dan berbincang dengan harmoni supaya masing-masing dapat hormati satu sama lain,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian sebagai mengulas berkenaan isu berkaitan golongan liberal dan murtad yang semakin berleluasa dan berani mengeluarkan pendapat bertentangan dengan Islam di media sosial.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Syahadah dan Meraikan Pengislaman Masyarakat Orang Daerah Kinta di RPS Kampung Orang Asli Sri Makmur Ulu Kinta di sini pada Rabu.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Mohd Akmal Kamarudin.

Liberalisme adalah satu bentuk fahaman sekularisme, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan dan amalan bebas dari ketentuan agama.