IPOH – Penutupan CIMB di Jalan Intan, Gerik adalah satu langkah pengurusan untuk menyelaraskan rangkaian cawangan-cawangan di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan, jurucakap CIMB Bank Berhad berkata, pihaknya yakin, urusan perbankan melibatkan bank itu tidak akan terjejas memandangkan perkhidmatan sama boleh didapati di mesin pengeluaran dan deposit tunai (CRM) di stesen minyak Petronas berhampiran.

Menurutnya, melalui CRM, pelanggan masih boleh membuat pengeluaran wang tunai, pemindahan dana, bayaran pinjaman atau kad kredit ke dalam akaun CIMB.

“Pembayaran bil utiliti, permintaan buku cek, penyata perbankan mini, pendaftaran atas talian dan penukaran nombor pin juga boleh dilakukan.

“Semua urusan menerusi mesin pengeluaran dan deposit tunai ini boleh dibuat di luar waktu perbankan rasmi memandangkan stesen minyak terletak kurang 500 meter dari pekan Gerik ini dibuka dari jam 8 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh layari https://www.cimbclicks.com.my bagi pelbagai perkhidmatan perbankan atas talian atau mengakses aplikasi perbankan CIMB EVA, 24 jam sehari.

Katanya, buat masa ini, pemindahan dana ke akaun CIMB atau bukan CIMB melalui CIMB Clicks juga adalah percuma.

“Kami sentiasa prihatin terhadap keperluan perbankan pelanggan CIMB, mereka tidak perlu membuang masa, tenaga dan kos parkir kerana pelbagai perkhidmatan perbankan boleh dilakukan di atas talian, di mana-mana sahaja,” katanya.

Bagi pelanggan yang masih ada kemusykilan, boleh menghubungi talian 03-6204 7788

Terdahulu, Pemuda Pas Kawasan Gerik bersama lebih 50 penduduk mengadakan demonstrasi aman membantah penamatan operasi cawangan bank itu bermula, April tahun depan.

Penutupan cawangan bank yang beroperasi sejak 1985 itu dikatakan akan menyebabkan urusan penduduk terganggu memandangkan cawangan berhampiran berada lebih 100km dari kawasan Gerik – sinar