IPOH : Perkhidmatan penerbangan laluan Ipoh – GuangZhou, China yang dikendalikan oleh Syarikat Scanda Sky dengan kerjasama Malaysia Airlines (MAS) telah dihentikan secara rasmi pada Rabu ekoran daripada penamatan kontrak persetujuan di antara kedua-dua pihak berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing bagaimanapun berkata, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa pihak Scanda Sky masih dalam proses mengenalpastikan usahasama syarikat penerbangan yang lain bagi terus perkhidmatan laluan penerbangan Ipoh-GuangZhou ini.
Menurutnya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan dan menyambut baik akan usaha yang dilaksanakan syarikat itu dan berharap usaha tersebut akan berhasil dalam masa terdekat bagi memenuhi hasrat warga Perak dan merancakkan lagi ekonomi negeri ini.
“Kerajaan negeri telah dimaklumkan tentang perkara ini terlebih dahulu, namun tiada sebarang pengumuman mahupun respon yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai isu ini sehinggalah pada hari ini.

“Ini adalah bagi menghormati kedua-dua pihak swasta yang memerlukan masa bagi menyelesaikan segala due process sebelum ini,” katanya dalam sidanh media di sini, pada Jumaat.

Perkhidmatan penerbangan itu yang dilaksanakan secara chartered telah dimulakan pada 27 November lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak telah mengambil keputusan bagi menghentikan kontrak persetujuan yang sebelum ini ditandantangani pada 7 Mei lalu di antara Scanda Sky dan By Amal, Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Kar Hing berkata, beberapa faktor yang menyumbangkan kepada keputusan tersebut termasuk pandangan komersial dan teknikal yang tidak dapat mencapai persetujuan di antara kedua-dua pihak ketika menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Sebagai contohnya, laluan ini yang sepatutnya boleh memuatkan  120 penumpang telah dihadkan kepada 50 penumpang.
“Kami berasa bangga apabila sebuah syarikat penerbangan nasional dipilih sebagai mod pengangkutan bagi laluan penerbangan tersebut, namun kami juga amat kesal atas perkembangan yang terkini,” ujarnya.

Tegasnya, keputusan itu adalah keputusan komersial yang tidak membawa sebarang implikasi kewangan terhadap kerajaan negeri.

Menurutnya, pihak Scanda Sky dan MAS tidak pernah menerima sebarang subsidi daripada kerajaan negeri bagi menyempurnakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha lagi bagi memperbanyakkan lagi laluan-laluan baru bagi meningkatkan lagi ketibaan pelancong ke negeri Perak.

“Perkembangan ini tidak akan mematahkan semangat kita, malah pelbagai rundingan masih lagi berterusan bagi memastikan hasrat kerajaan negeri serta rakyatnya tercapai,” tambahnya.