IPOH 3 Nov. – Industri pelancongan negeri dapat diperkembang dan dirancakkan dengan penganjuran lebih banyak program dengan adanya perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan oleh kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing berkata dengan adanya perkongsian hasil cukai secara sama rata itu, ia dapat membantu menambahbaik industri dalam pelbagai aspek.

“Dengan dana tersebut kita dapat melakukan beberapa penambaikkan seperti kemudahan, penganjuran program atau kegunaan publisiti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan kerajaan Persekutuan akan melaksanakan perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi cukai pelancongan yang diterima di negeri berkenaan.

Cukai Pelancongan mula dilaksanakan pada 1 Sep 2017 pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk setiap malam bagi pelancong asing yang menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.

Ditanya sama ada kerajaan negeri pernah menerima semula kutipan cukai pelancongan, Kar Hing berkata ia pernah dicadangkan namun belum dilaksanakan. – BERNAMA