ALOR SETAR : Kerajaan akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun lagi untuk menggubal undang-undang baharu bagi membolehkan golongan suri rumah mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata perkara itu dijangka dapat diselesaikan hujung tahun depan berikutan ia memerlukan penelitian rapi sebelum dibawa ke Parlimen.

Katanya, setiap perkara baru yang diperkenalkan kerajaan akan mengambil sedikit masa, namun ia tetap akan dilaksanakan seperti dijanjikan.

“Suri rumah bukanlah dikategorikan pekerja tetapi mereka tetap terdedah kepada risiko kemalangan, contohnya sewaktu menghantar anak ke sekolah dan memasak di rumah.

“Kita selesaikan dulu Caruman Sukarela i-Suri di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selepas itu kita uruskan untuk melindungi suri rumah menerusi PERKESO pula,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, hadir bagi merasmikan Majlis Penyerahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Kubang Lintah, Mukim Lepai di sini.

Pada 5 Oktober lalu, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, dilaporkan berkata pihaknya sedang merangka skim baharu membabitkan golongan berisiko termasuk suri rumah dan balu.

Katanya, skim itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi menambah faedah seperti mana diperoleh pekerja lain.

Sementara itu, Mahfuz berkata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) belum menghubungi kementeriannya untuk meminta bantuan bagi menyelesaikan kemelut dihadapi kongres itu dengan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, pihak kementerian sentiasa terbuka untuk membantu kongres itu menerusi Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan.

“Bagaimanapun, kita tidak mengambil inisiatif untuk hubungi mereka, sebab itu hak mereka untuk selesaikan hal dalaman, apa yang kita lakukan adalah memberi nasihat dan menjadi orang tengah saja,” katanya.