TAPAH: Peluang kerjaya bagi pelajar Maahad Tahfiz tidak hanya terhad kepada satu jurusan sahaja, namun boleh diperluaskan kepada bidang kemahiran lain termasuk vokasional dan teknologi maklumat (IT).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, stigma itu boleh dikikis dengan beberapa usaha dan cadangan yang sedang dirangka, antaranya menjalinkan kerjasama dengan Multimedia University (MMU).

“Sebelum ini kita sudah jalinkan kerjasama di antara universiti lain seperti Universiti Islam Perlis dan UniSZA, yang terbaru saya cadangkan dengan MMU.

“Selama ini mungkin ramai yang fikir Tahfiz hanya menjurus kepada Shoubra, mungkin kita dapat kembangkan lagi sebab saya lihat pelajar-pelajar ini ada bakat hasilkan video dan sebagainya.

“Antara universiti yang ternama dalam bidang IT ialah MMU dan mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Tahfiz untuk menerima pelajar masuk MMU dalam masa yang sama boleh mengambil Sijil Tahfiz Malaysia di situ secara percuma,” katanya.

Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)- Yayasan Addin kepada 20 buah Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin di Dewan Serbaguna Kampung Jalan Kachu, di sini pada Isnin.

Yang turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Addin, Mohd Sabri Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.

Dalam pada itu, beliau berkata kecemerlangan yang ditonjolkan oleh pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin dalam bidang IT dan video pendek turut mendorong kepada cadangan tersebut.

“Saya baru berbincang dengan pihak MMU dan selepas ini mungkin pihak Tahfiz Addin atau JAIPk serta Persatuan Maahad Tahfiz Al Quran Negeri Perak (PEMATAP) turut sama jalin kerjasama lebih erat.

“Secara dasarnya MMU sudah bersetuju,saya lihat Maahad Tahfiz Addin ini mempelopori bukan sahaja menghafal Al Quran tetapi turut menyediakan bidang lain termasuk Tahfiz Vokasional.

“Dunia hari ini ramai yang boleh cari makan dengan IT, kalau dia (pelajar) sudah ada 30 juzuk Al Quran dan bila mohon jadi Imam atau sebagainya tak dapat.. jangan kecewa sebab dia sudah ada Al Quran dalam dada dan dalam masa sama dia boleh jana pendapatan dalam bidang ini (IT),” katanya.

Yayasan Addin merupakan sebuah yayasan badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kebajikan dan ditubuhkan bagi memajukan wakaf orang ramai.

Sehingga kini ia berjaya mengimarahkan tanah wakaf dengan menguruskan sebanyak 23 buah Maahad Tahfiz Al Quran Addin di seluruh Perak termasuk satu cawangan di Semenyih, Selangor,

Yayasan ini menawarkan beberapa peringkat pengajian seperti 14 cawangan menengah rendah, empat cawangan menengah atas, empat cawangan Tahfiz Vokasional dan program diploma.