KUALA LUMPUR : Beberapa tokoh berprofil tinggi dalam Amanah yang kecundang dan hampir tewas dalam pemilihan di peringkat kawasan masing-masing sebelum ini, dijangka mendapat peluang kedua.

Hal ini selepas Amanah pusat mengarahkan banyak kawasan supaya mengadakan pemilihan semula.

Mereka antaranya bekas menteri besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin; Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil; Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi dan Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sebelum ini pemimpin tersebut tewas dan ada yang hampir tersingkir dalam pemilihan kawasan masing-masing.

Mohammad Nizar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat itu gagal menempatkan diri dalam kalangan 15 calon anggota jawatankuasa (AJK) kawasan yang menerima undi terbanyak dalam mesyuarat Amanah kawasan Gopeng pada 24 Ogos lalu.

Nasib sama juga menimpa Faiz sebelum itu apabila tersingkir dalam pemilihan Amanah kawasan Permatang Pauh pada Julai lalu.

Siti Mariah pula nyaris tersingkir daripada mendapat undi 15 tertinggi dalam pemilihan Amanah kawasan Puchong, pada 8 September lepas manakala Abbas yang bertanding di kawasan sama gagal mendapat tempat.

Sementara itu menurut sumber, Faiz, Mohammad Nizar dan Abbas dikatakan bakal mendapat peluang kedua apabila kawasan mereka diarahkan supaya diadakan pemilihan semula.

Arahan tersebut susulan masalah teknikal yang dialami parti itu apabila pemilihan 655 cawangan, 81 kawasan serta sayap dilaporkan terbatal.

Difahamkan ia berpunca daripada kelemahan ibu pejabat Amanah apabila tidak meneliti atau menyerahkan laporan minit mesyuarat daripada pelbagai peringkat itu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Malaysiakini melaporkan Faiz ketika dihubungi  bagaimana pun berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan bertanding semula atau sebaliknya.

“Saya belum buat keputusan sama ada akan bertanding mahupun tidak,” katanya ringkas.