PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan menggesa individu yang ingin melanjutkan moratorium hadir ke bank untuk membuat permohonan berkenaan bermula 7 Ogos ini tidak menunggu saat akhir .

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, berkata ini bagi mengelakkan kesesakan di bank ketika pandemik COVID-19.

“Kalau 7.7 juta pemohon itu datang semasa saat akhir iaitu penghujung September, kita risau dengan kemampuan bank untuk menguruskan permohonan mereka. Kita harap mereka dapat pergi segera supaya dapat mempercepatkan proses ini.

“Bila tamat sahaja tempoh permohonan, sekiranya mereka gagal mendapat lanjutan itu ia sudah tentunya akan beri kesan yang sangat besar berbanding situasi yang mereka hadapi kini.

“Diharapkan mereka yang layak untuk memohon lanjutan moratorium ini menggunakan peluang yang diberikan.

“Kalau tidak hadir ke bank, sudah pastinya bank tidak tahu masalah yang dihadapi oleh pemohon. Moratorium lanjutan ini bukannya automatik seperti yang diberikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ke-15, di Dewan Sri Siantan, di sini hari ini.

Mohd Shahar berkata, menerusi inisiatif PRIHATIN khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), sehingga 24 Julai lalu lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada semua peminjam sudah mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman yang bernilai RM62.8 bilion.

Selain itu, dalam tempoh yang sama sebanyak 243,000 PKS atau 95 peratus daripada jumlah keseluruhannya menerima manfaat daripada moratorium berkenaan dengan nilai RM20.7 bilion.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan masih terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.