IPOH : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol membabitkan dirinya untuk didengar di Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Radzi Harun, berkata kes Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru itu akan disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen pada 5 Disember depan.

Dalam penghakimannya, Radzi berkata kes berkenaan tidak mempunyai merit untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi, selain Mahkamah Sesyen berupaya mengendalikan kes berkenaan dengan penuh keadilan.

Pada 13 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes rogol membabitkan Choo Kiong.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh memohon penangguhan untuk membolehkan mereka memfailkan permohonan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Ia bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi disebabkan banyak isu perundangan timbul, terutama membabitkan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes untuk didengar di Mahkamah Tinggi dan menghormati keputusan supaya kes itu didengar semula di Mahkamah Sesyen.

Dalam pada itu, Rajpal berkata, hakim Mahkamah Tinggi sudah memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen mampu mendengar dan membicarakan kes berkenaan dengan penuh keadilan.

Beliau berkata, pihaknya ada beberapa pilihan berhubung tindakan yang akan dilakukan selepas hakim menetapkan keputusan berkenaan antaranya merayu serta meneruskan perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan berbincang dengan anak guam terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung kes berkenaan.

Choo Kiong didakwa merogol mangsa, pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia berusia 23 tahun antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.