PUTRAJAYA: Pemohon baharu Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu mengikuti kursus serta program induksi sebelum diluluskan menduduki rumah berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini pihaknya masih dalam proses merangka kaedah itu dan mungkin diperkenalkan pada Jun ini.

Katanya, menerusi kaedah itu ia secara tidak langsung membantu pihaknya membuat saringan lebih teliti pada pemohon yang benar layak sebelum meluluskan permohonan mereka untuk mendiami sesuatu PPR.

“Kita akan buat satu kaedah di mana pemohon PPR yang berpotensi akan ditapis sebaiknya. Mereka ini harus mengikut garis panduan yang ditetapkan. Selain itu kita juga kita akan memperkenalkan sistem merit kepada penghuni yang melanggar peraturan.

“Penghuni yang didapati melanggar peraturan, kita berhak untuk mengusir mereka dan menggantikan dengan pemohon lain.

“Dengan adanya kaedah itu, kita dapat memastikan harta benda di PPR itu terjaga, tiada lagi keadaan yang kotor serta lambakan warga asing atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Zuraida turut melancarkan Laporan Pencapaian KPKT 2019 yang mengandungi semua inisiatif KPKT yang sudah berjaya dengan memberi manfaat kepada masyarakat.

Antara yang disenaraikan dalam buku berkenaan ialah kejayaan KPKT memperkenalkan empat dasar bagi tahun lalu iaitu Dasar Perumahan Negara 2018-2025, Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, Dasar Komuniti Negara 2019-2030 dan Dasar Kebersihan Negara 2030.

Zuraida dalam ucapannya turut menyatakan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan perasaan bangga dengan KPKT dan mengucapkan terima kasih kerana kementerian itu dilihat bergerak atas landasan serta menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Dalam pertemuan saya dengan Tun M (Tun Mahathir), beliau ucapkan terima kasih atas pencapaian yang dilaksanakan pada tahun lalu.

“Dalam semua empat bahagian utama bawah KPKT, janji satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun itu dilihat bergerak atas landasannya. Maknanya sasaran itu dapat dicapai dan dalam masa 10 tahun kita dapat sempurnakannya atau mungkin lebih awal dari itu,” katanya.