KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) telah menafikan dakwaan oleh portal media tempatan yang semua bank utama di negara mempunyai peluang untuk menindas peminjam melalui dua kontrak, iaitu surat ikatan tugasan dan perjanjian wakil kuasa.

Katanya, secara umumnya untuk hartanah dengan hak milik, jika berlaku kemungkiran, harta itu akan dirampas melalui proses mahkamah yang bersesuaian.

“Dalam kes seperti itu, hak peminjam untuk notis yang mencukupi dan proses sewajarnya adalah ditentukan oleh undang-undang.

“Sebaliknya, untuk hartanah tanpa hak milik pula menjadi amalan biasa bagi bank untuk mendapatkan kuasa wakil daripada peminjam untuk membenarkan bank menjual hartanah yang mungkir itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pengaturan ini, kata persatuan berkenaan, adalah langkah berjaga-jaga bagi melindungi bank jika perkara seperti itu berlaku.
Bagaimanapun, bank masih memberikan notis mencukupi kepada peminjam terjejas kepada hartanah tanpa hak milik.

“Bank yang menjadi anggota kami diperlukan mematuhi standard ditetapkan pengawal selia berkaitan pengambilan balik hartanah mungkir bagi memastikan ia dibuat secara bertanggungjawab.

“Selain itu, bank juga perlu berbincang dengan peminjam untuk pengaturan pembayaran alternatif.

“Ia adalah satu keperluan untuk bank melakukan proses yang betul, termasuk notis yang mencukupi sebelum tindakan diambil ke atas peminjam yang mungkir,” katanya.

Bank, khususnya, perlu mematuhi antara lain, apabila dikesan sebarang tanda-tanda masalah pembayaran balik, bank akan menghubungi pelanggan dengan segera dan mengadakan perbincangan awal ke arah langkah-langkah pembayaran balik alternatif bagi menangani masalah kewangan.

ABM berkata, bank perlu berusaha untuk menawar pelan pembayaran alternatif yang sesuai dengan keadaan pelanggan dan kedudukan kewangan yang sudah berubah dengan tujuan menyelesaikan masalah pembayaran balik pelanggan tersebut.

Mereka (bank) juga perlu memberi maklumat mencukupi agar pelanggan memahami implikasi cadangan pengaturan pembayaran balik, termasuk kemungkinan tindakan mengambil balik jika pelanggan terus mungkir, tambahnya.

Walaupun terdapat pelbagai jenis dokumentasi pinjaman untuk pinjaman perumahan, terdapat undang-undang yang cukup untuk memastikan kepentingan peminjam dilindungi.

Orang ramai boleh menghubungi ABMConnect melalui 1300-88-9980 atau eABMConnect di www.abm.org.my untuk sebrang pertanyaan atau aduan berkaitan pinjaman perumahan.

— BERNAMA