LUMUT: Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam tidak menyebelahi mana-mana pihak mahupun memberi kelebihan tertentu kepada Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa pihak pembangkang.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, keputusan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah untuk menggariskan semula kawasan mengikut kesesuaian.

“Perak turut terlibat walaupun (kawasan terlibat) tidak besar dalam proses persempadanan semula yang diumumkan oleh Parlimen.

“Kita terima keputusan yang dibuat SPR dalam menggariskan semula kawasan,” katanya pada sidang media selepas melawat penduduk di Kampung Kelantan, Teluk Muroh di sini, hari ini.

Katanya, sebelum persempadanan semula dilakukan proses belah bahagi juga sudah dijalankan dan ia turut dijalankan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada 2016 yang melibatkan penyusunan semula kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Proses ini dilakukan dua tahun lalu yang melibatkan kawasan PDM yang sudah disusun semula dan diinjakkan untuk menyesuaikan dengan sesuatu kawasan Parlimen dan ewan Undangan Negeri (DUN).

“Mungkin ramai yang tidak tahu, malah kita sendiri juga tidak tahu perkara yang dibuat SPR ini dan kita dimaklumkan kemudian. Itu adalah kerja SPR untuk menyemak setiap kawasan untuk persiapan proses persempadanan semula.

“Kalau mengikut perkiraan, kubu-kubu kuat waktu itu berubah dan kita kehilangan beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat semasa PRK Kuala Kangsar disebabkan proses belah bahagi yang dilakukan SPR,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan DAP yang mendakwa kononnnya pindaan nama DUN Sitiawan kepada Astaka akan memberi kemenangan kepada BN Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

Dalam satu sidang akhbar pagi tadi, DAP Perak mendakwa pindaan nama kerusi DUN Sitiawan kepada Astaka menerusi langkah persempadanan semula merupakan satu penghinaan kepada rakyat di kawasan itu yang telah wujud sejak zaman kemerdekaan.

Pengerusinya, Nga Kor Ming mendakwa, nama “Astaka” itu diambil bersempena dengan nama sebuah gelanggang bola keranjang di dalam kawasan berkenaan sedangkan Sitiawan merupakan kawasan yang kaya dengan sejarah.

Dr Zambry berkata, dakwaan tidak berasas pihak pembangkang itu disifatkan hanya mahu membangkitkan sentimen kebencian rakyat kepada kerajaan.

“Hujah mereka kononnya ia adalah langkah kita untuk memadamkan (Sejarah DUN Sitiawan) merupakan hujah yang tidak dapat kita terima yang menuduh kononnya ia usaha Barisan Nasional (BN) yang kita lihat secara jelas ia adalah proses yang dilakukan SPR.

“Beberapa tempat yang diubah dalam persempadanan semula dan SPR ada hujah mereka sendiri dan ia bukan sahaja berlaku di Perak malah di Johor, Selangor dan negeri-negeri lain,” katanya.

Usul persempadanan semula tersebut telah mengakibatkan beberapa pindaan nama kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Semenanjung Malaysia.

Antara kawasan yang terlibat di dalam negeri Perak ialah dua Parlimen yang ditukar ejaan namanya iaitu P.075 dari Bagan Datok ke Bagan Datuk dan Telok Intan ditukar kepada Teluk Intan.

Manakala bagi DUN pula N.13 bagi Kuala Sapetang menjadi Kuala Sepetang dan N.38 Sitiawan dipinda kepada Astaka.

Dalam pada, itu Dr Zambry berkata, pihaknya akan melihat keseluruhan kawasan bagi memastikan lokaliti dan PDM dapat berkerja keras dengan melibatkan semua jentera bagi melihat semula kawasan selepas proses persempadanan dilakukan.

Katanya, pihaknya akan meneruskan usaha yang dilakukan dan memastikan BN dapat memenangi kerusi di situ selain mengatur strategi baharu.