TAPAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat supaya terus mempertahankan keharmonian dan kemakmuran negara yang telah dicapai sejak merdeka 60 tahun lalu.

Ini perlu kerana terdapat permainan sentimen untuk memetak-metakkan rakyat melalui dasar pecah dan perintah, seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah.

Menurut beliau, dasar itu tidak sepatutnya berlaku lagi di dalam sebuah negara seperti Malaysia, yang rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam suasana penuh kemakmuran.

Sehubungan itu, kata beliau, usaha perlu dibuat bagi menekankan kepada komunikasi silang budaya bagi memperkukuhkan lagi perasaan saling hormat menghormati di kalangan rakyat.

“Harus ditanamkan sikap komunikasi silang budaya supaya kita memahami perasaan orang Cina, India, Orang Asli dan pada waktu yang sama, mereka juga memahami perasaan kita, silang budaya.

“Inilah yang harus dipertekankan agar keharmonian yang cuba dipetak-petakkan semula ini dapat dihapuskan dan UMNO sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional adalah pemangkin komunikasi silang budaya untuk mewujudkan keharmonian yang masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah pada Ahad.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tapah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan, Ahli Parlimen Tapah merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, Pengerusi MCA Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden yakin, berdasarkan penelitian yang dibuat dalam beberapa pilihan raya umum dan pilihan raya kecil lalu, trend sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional semakin meningkat menjelang pilihan raya umum ke – 14.