IPOH, 19 DIS: Program Perpaduan Perak 2020 yang dilancarkan hari ini diwujudkan bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya remaja dan pelajar sekolah.


Program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan Sungai Siput (NADI) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Institut Pendidikan Guru (IPG).


Pelancaran majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Perak, Abd Hadi Mohd Salleh di Dewan Melawati, IPG Kampus Ipoh di sini.


Turut hadir ialah Ketua Unit Kajian Sosial Jabatan Sains Sosial, IPG Kampus Ipoh, Mohd Azmi Md. Jelani dan Timbalan Presiden NADI Sungai Siput, Dr. S. Shanmuga Velu.


Abd Hadi berkata, usaha melaksanakan program itu amat dialu-alukan oleh pihak kementerian.


“Kementerian sentiasa menyokong dan menggalakkkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama terlibat dengan program seumpama ini dalam memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program itu di sini, hari ini.


Sementara itu, Dr. S. Shanmuga yang juga pengarah program itu, berkata, program tersebut dijalankan secara dalam talian bermula 16 Disember sehingga 29 Disember 2020.


“Terdapat beberapa pertandingan dijalankan sepanjang program ini berlangsung, antaranya ialah pertandingan mewarna poster perpaduan, pertandingan video dan montaj perpaduan, pertandingan menulis karangan serta kuiz perpaduan.


“Semua pertandingan ini terbuka kepada warga negeri Perak,” katanya.


Tambah Shanmuga, hadiah wang tunai serta sijil penyertaan akan diberikan kepada para pemenang.


Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh layari laman sesawang program di perpaduan.ipgki.my untuk maklumat lanjut.