SLIM RIVER: Pertubuhan Peladang bukan hanya untuk orang tua atau pencen, sebaliknya boleh juga disertai golongan muda.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, orang muda juga boleh berjaya dalam bidang pertanian sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh.

Beliau memberi contoh Pengerusi Peladang Muda Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Kassim Yaakob yang menjadi usahawan tani berjaya sehingga memiliki 12 pusat jual beli kelapa sawit.

“Dia berjaya kerana mempunyai disiplin yang tinggi dan anak muda kena berdisiplin jika ingin berjaya,” katanya ketika berucap di majlis jalinan tani dan jamuan hari raya Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak dan PPK Slim River di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad, Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Datuk Mohd Salim Taha dan Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail.

Dr Zambry mengingatkan kepimpinan pertubuhan peladang supaya mengelakkan perpecahan dan menumpukan usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup ahli-ahli.

Di majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan wang tunai, beras, benih pokok dan keperluan makanan kepada 25 penerima kurang bernasib baik di samping menyampaikan peti sejuk beku kepada Peladang Muda dan menyaksikan penyerahan zakat dari Pertubuhan Peladang Kebangsaan sebanyak RM5,000 kepada PPK Slim River.

Sementara itu, Mohd Said berkata, Perak menjadi negeri kedua selepas Johor yang memberi sumbangan peti sejuk beku kepada Peladang Muda.

Bagaimanapun, katanya di Johor hanya melibatkan 29 PPK sedangkan di Perak 30 PPK seluruh negeri.

“Peti sejuk beku ini diberi percuma oleh PPN manakala kita akan usahakan agar bayaran barangan yang diisi dapat dibuat secara mudah,” ujarnya.